AKHLAK DALAM ISLAM....
4:49 PM | Author: mohd daud bin hassan
((بسم الله الحمن الرحيم

1. PENGENALAN

Manusia adalah makhluk Allah S.W.T yang teristimewa yang memiliki tabiat dan mentaliti yang mempengaruhi amalan dan tingkah lakunya, maka keperibadian inilah yang menjadi perbicaraan dan perbincangan yang utama dalam akhlak.

Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa akhlak merupakan nadi utama dalam pembangunan manusia. Setiap tamadun umat manusia dari dahulu sehingga kini ianya terbina dari asas akhlak ataupun dikenali sebagai tamadun kemanusiaan, iaitu asas yang membina tamadun tersebut di luar kuasa kebendaan. Walau bagaimanapun, Islam mempunyai persepsinya yang tersendiri dan memiliki asas akhlaknya dan asas tamadunnya yang tersendiri.

2. MAKSUD AKHLAK

Dari sudut bahasa :
Ianya membawa maksud tabiat dan perangai.
Manakala dari sudut istilah ulamak :
Sepertimana yang ditakrifkan oleh Al- Ghazali : "Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan."

Oleh itu, akhlak boleh disimpulkan dengan makna ianya sebagai suatu himpunan ma'ani dan sifat-sifat yang bertapak kukuh di dalam diri, dan ianya menjadi neraca bagi manusia dalam baik buruk sesuatu amalan dan perbuatan tersebut.

3. KEPENTINGAN AKHLAK

31. Akhlak mencorak tingkah laku.

Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagaimana menurut Al-Ghazali : "Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya".
Maka dengan ini sehinggalah apabila akhlak menjadi sebati
di dalam diri ia akan melahirkan tindakan spontan, bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya.

3.2 Neraca akhlak mempengaruhi pertimbangan.

Neraca akhlak yang sebati di dalam diri manusia akan mempengaruhi pertimbangannya dalam menilai sesuatu perbuatan. Oleh itu, kesahihan dalam pertimbangan ini bergantung kepada sejauh mana kesahihan neraca yang dipegangnya.

3.3 Akhlak mencerminkan keimanan.

Akhlak adalah cermin keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan memprodukkan akhlak yang mulia atau dengan perumpamaan yang mudah, ibarat pohon yang semata-mata bergantung kepada keelokan akarnya. Sabda Rasulullah S.A.W :

أكمل المؤمنين أحسنهم خلقا

Maksudnya : "Di kalangan mu'minin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.(1)

3.4 Akhlak sebagai simbol tamadun manusia.

Tamadun sesuatu umat adalah terletak kepada sejauh mana penghayatannya dan kemurnian sumber peradabannya. Akhlak adalah sebagai mercu tanda, berjaya atau tidaknya sesuatu umat dalam melakukan proses kemajuan dan pembangunan. Tanpa akhlak nescaya manusia akan berada di lembah kehinaan biarpun kejayaan material yang dicapai sangat menakjubkan. Faktor membelakangkan akhlak jugalah yang menyebabkan sesuatu umat tersebut tidak mencapai ketamadunan yang sebenarnya. Contohnya kepercayaan Hindu yang membelakangkan etika akhlak mengakibatkan umatnya tiada bertamadun seperti berlakunya perhambaan diri kepada hawa nafsu. (2) Begitu juga tamadun barat yang berasaskan oleh ideologi kapitalis dan lain-lain, jatuh satu persatu kerana mengkesampingkan nilai-nilai akhlak.

3.5 Akhlak adalah mangkin perubahan

Aspek keluhuran akhlak dan kerohanian perlulah diambil berat serta diberi pemfokusan yang utama dalam melakukan setiap agenda perubahan kepada masyarakat. Ini adalah kerana sebagai mangkin perubahan, sebagaimana yang telah diulas oleh Imam As Syahid Hassan Al-Banna sebagai "tongkat perubahan". Ini kerana krisis yang dihadapi oleh dunia adalah merupakan krisis kejiwaan dan kerohanian sebelum ianya menjadi krisis ekonomi dan politik.(3)

Begitulah pentingnya akhlak dalam membantu proses perubahan walaupun di saat- saat kritikal seperti dalam medan peperangan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral akan menggagalkan usaha perubahan. Seolah-olah akhlaklah yang menjadi sebagai persiapan dan persediaan dalam menempuh situasi genting perubahan ini. Kita melihat apa yang telah berlaku di Turki ketika kejatuhan Khalifah Uthmaniah, di antara faktor kelembapannya dan kejatuhannya adalah disebabkan keruntuhan nilai akhlak di kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya.(4)

Secara kesimpulannya, dapatlah kita nyatakan bahawa akhlaklah merupakan sumber kekuatan yang dapat mengangkat darjat manusia ke tahap yang mulia. Ini kerana seseorang insan itu bukan dilihat berdasarkan tubuh badan atau anggota tetapi ianya dilihat dari segi perlakuan akhlaknya.(5)

4 . PEMBAHAGIAN AKHLAK

4.1 Al - Akhlak Al - Insaniah Al - Asasiah. ( Akhlak Asasi Manusia)

4.1.1 Ianya bermaksud segala sifat asas yang telah sedia ada bersama kewujudan insan tersebut serta mencakupi sifat-sifat yang melayakkan mereka untuk mencapai kejayaan di dunia ini. Tidak kira sama ada ianya diarahtujukan kepada matlamat yang sahih atau sebaliknya, dan sama ada dalam kontek insan tersebut beriman kepada Allah S.W.T dan hari kebangkitanNya serta risalah yang dibawa oleh para rasul bersama wahyu yang telah diturunkan, ataupun insan tersebut beriman kepada perkara-perkara yang tersebut.

4.1.2 Maka di antara sifat-sifat yang asasiah yang membolehkan seseorang insan tersebut mengecapi kejayaan di muka bumi ini ialah seperti : mempunyai kekuatan dan keazaman yang kuat dalam sesuatu perkara, menampilkan diri dalam sesuatu bidang, sabar dan thabat serta mempunyai daya ketahanan diri yang kuat dalam memikul setiap perkara yang besar lagi berat, mempunyai jiwa yang berani, nasyat dalam setiap bidang, bersedia untuk berkorban dalam apa jua keadaan ke arah mentahkikkan tujuan tersebut, ihsas tentang mas'uliah yang tertaklif ke atas dirinya, berkemampuan dalam menentukan sesuatu maukif yang berbeza berdasarkan kepada keadaan dan situasi yang juga berbeza, begitu juga berkemampuan dalam mentadbir sesuatu perkara bertepatan dengan zuruf mahupun keadaan, seterusnya menguasai dirinya apabila berada dalam situasi yang menyentuh a'watif dan perasaan dirinya serta juga mampu menarik perhatian orang ramai ke arah apa yang dia hajati.

Aspek ini juga disebut oleh Iman Syahid "Bahawa pembentukan ummah, pendidikan bangsa, merealisasikan cita-cita dan memperjuangkan prinsip memerlukan sesuatu ummah atau kumpulan yang berusaha menyeru kepadanya maka perlulah di sana mempunyai kekuatan jiwa yang hebat."

Seterusnya beliau menyambung: "Maka setiap bangsa sama ada pemimpin atau duatnya yang kehilangan empat sifat ini ia adalah bangsa yang sia-sia dan lemah yang tidak mampu sampai kepada cita-cita."

4.1.3. Dipandang pada sudut kemasyarakatan pula, masyarakat yang ingin maju, setiap individunya mestilah memiliki visi bersama yang lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi. Maka bagi membina masyarakat yang tersusun perlu juga ada padanya segala bentuk sifat yang terpuji dan mulia seperti perkara yang menjadikan insan tersebut sopan- santun, thiqah di dunia ini dan hati yang terbuka, amanah, menepati akan janji, mempunyai sifat yang wasotiah dan juga jiwa yang suci, bersih bersama pemikiran yang sentiasa sihat.

Inilah sifat-sifat yang telah difahami oleh kebanyakan umat dan jemaah yang mana seolah-olah dijadikan bahan revolusi dan kebangkitan insaniah dan ummah, malah merupakan modal-modal yang amat berharga bagi kemanusiaan tersebut.

4.2 AL- AKHLAK AL- ISLAMIAH

Akhlak Al- Islamaiah mempunyai pertautan yang erat dengan akhlak Al-Insaniah Al-Asasiah malah akhlak inilah yang merupakan pelengkap bagi akhlak Al-Asasiah dan juga penyempurna serta mempertingkatkannya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

4.2.1. Keistimewaan dan juga muhimmah yang ada pada akhlak Al- Islamiah :

i) Akhlak Al- Islamiah meletakkan akhlak asasi manusia pada paksi dan fungsinya yang sebenar serta mengarahkannya kepada kebaikan. Ini jika dilihat di sisi akhlak asasi manusia pada persepsinya yang awal boleh diarahkan kepada mana-mana arah sama ada yang baik atau sebaliknya secara serentak. Ianya terungkap ketika datangnya Islam. Akhlak Al-Islamiah dijadikan obor dan memandu akhlak Al-Asasiah tersebut kepada kedudukan yang betul dan kepada landasan yang lurus, maka apabila dikaitkan dengan suasana sekelilingnya sudah tentu akan membawanya ke arah kebaikan dan petunjuk yang benar.

Bolehlah diumpamakan sebagai pedang yang tajam yang dijadikan alat oleh perompak untuk melakukan kezaliman tanpa belas apabila senjata tersebut berada di tangannya, akan tetapi sekiranya pedang tersebut berada di tangan seorang mujahid yang berjuang fi sabilillah maka ianya merupakan satu alat yang amat baik malah ianya menjadikan suatu yang hak.

Maka, kita tidak boleh menghukum kepada sesuatu akhlak tersebut baik ataupun bagus dengan berdasarkan wujudnya akhlak tersebut di sisi seseorang tertentu, ataupun kumpulan tertentu, tetapi baik dan bagusnya adalah berdasarkan akhlak tersebut digunakan ke arah yang lurus dan betul mengikut landasan syarak.

Maka, Islam sentiasa memberikan motivasi kepada akhlak Al-Asasiah ke arah kebaikan dan yang hak. Begitu juga dalam segala keadaan yang seharusnya kepada dakwah Islam ke arah at-tauhid dan tidak ada di situ segala maksud dan tujuan yang sebalik setiap usaha manusia kecuali hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. Seterusnya, perlulah menentukan segalanya di ufuk pemikirannya dan amalannya berdasarkan garis panduan yang telah disediakan oleh Allah S.W.T. Maka dengan itu, kita akan dapati natijahnya bahawa akhlak Al-Asasiah yang telah disebutkan tadi akan menuju ke arah yang lurus, manakala segala kekuatan yang terlahir dari akhlak tersebut tidak akan diekploitasikan dan dilaksanakan kecuali hanya ke arah meninggikan kalimah Al-Hak. Ini dapat mengelakkan daripada ianya digunakan ke arah kepentingan diri, keturunan, ummah ataupun negara sahaja yang hanya berdasarkan ianya boleh dan tidak boleh ataupun sesuai dan tidak sesuai.

4.2.2. Memperkemaskan dan memperkukuhkan akhlak Al-Asasiah sebagai tunjang di satu tahap. Seterusnya mengembangkan pratikalnya ke dalam hayah dan kehidupan insani sehingga mencapai ke tahap yang maksima dan agung.

Contohnya : Sabar.......Di sisi bukan Islam ia direalisasikan pada tahap yang sangat terhad, sehingga mereka yang dilihat sebagai seorang yang sabar hanya mampu bertahan di dalam medan perang dan sanggup bergelumang dengan darah namun sebaliknya terkulai layu di hadapan tuntutan hawa nafsu. Tetapi di sisi Islam di samping mempraktikkan kesabaran ia juga memperluaskan perlaksanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar menggunakan kesabaran bagi menghadapi cabaran dan bencana sahaja bahkan ianya juga terhadap segala sesuatu yang meminggirkan manusia dan tersisir daripada jalan yang benar.

Inilah prinsip yang diingini oleh Islam yang menghendaki setiap muslim berdiri teguh di jalan yang benar. Begitulah juga akhlak-akhlak asasi yang lain, ianya dipratikkan dalam ruang lingkup yang sempit, sedangkan Islam merangkumkan ke semua akhlak dan membinanya di atas asas yang betul lalu memperluaskan daerah kemungkaran.

5. CONTOH-CONTOH AKHLAK YANG SEBAGAIMANA DISEBUT DI DALAM AL- QUR'AN DAN AS- SUNNAH.

5.1 Akhlak di dalam Al- Qur'an :

Al-Qur'an menyentuh sudut-sudut akhlak secara terperinci. Ini jelas di dalam beberapa ayat, contohnya :

5.1.1 Menunaikan janji :
وأوفو با لعهد ان العهد كا ن مسؤولا


5.1.2 Bersabar :
يآئيها الذين امنون اصبروا وصابروا ورابطوا ......

5.1.3 Tidak berdengki :
والذين جاءوا من بعدهم يقولون ربنا اغفر لنا ولاخواننا الذين سبقون بالايمان
ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين امنوا ربنا انك رؤوف رحيم .


5.2 Akhlak di dalam As- Sunnah

Rasulullah adalah sebagai contoh praktikal kepada Akhlak Islam. Akhlak baginda adalah Al-Qur'an. Sehingga dipuji oleh Allah S.W.T. sebagai orang yang memiliki akhlak yang tinggi. Oleh itu, Sunnah juga menjelaskan sudut-sudut akhlak secara terperinci dalam masyarakat Islam. Contoh hadis :

5.2.1 Hak- hak muslim dan larangan dari melakukan akhlak yang keji :

لا تحاسدوا ولا تناجسوا ولا تناغضوا ولا تدابروا .........الى أخر ألحديث .
5.1.2 Ikhlas tanpa ada unsur riak :

سئل رسول الله عن الرجل يقاتل شجاعة ويقاتل حميةويقاتل رياء، واى ذلك فى سبيل الله
فقال رسول الله : من قاتل لتكون كلمة الله هى العايا
فهو فى سبيل الله.


5.2.3 Waspada :
لا يلدغ المؤمن من حجر مرتين


5.2.4 Sopan :
قال رسول الله : لأشجع عبد القيس : ان فيك خضلتان يحبهما الله له
ورسوله الحلم والأناة


6. KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM

Akhlak berada di tahap yang tinggi dalam Islam. Bahkan ia adalah binaan asasi dalam Islam bersama syariat dan aqidah.

6.1 Tujuan Ar-risalah dikaitkan dengan pembentukan akhlak. Sebagaimana di dalam hadis :

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

6.2 Ad- Din ini dita'rifkan dengan akhlak yang baik. Sebagaimana disebut di dalam hadis yang mursal bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W dan bertanya tentang diri ini. Lalu baginda S.A.W menjawab :
حسن الخلق

6.3 Akhlak juga disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai pemberat timbangan di hari akhirat :

أثقل ما يوضع في الميزان يوم القيامة تقوى الله وحسن الخلق

6.4 Mukmin yang berbeza-beza keimanan dan di antara yang paling afdhal di kalangan mereka ialah yang paling baik akhlaknya. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang mukmin yang paling afdhal imannya lalu baginda menjawab :
أحسنهم خلقا

6.5 Orang yang paling hampir dan dikasihi kepada Rasulullah S.A.W di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Rasulullah bersabda :

ان أحبكم اي وأقربكم مني مجلسا يوم القيامة أحسنكم أخلاقا

6.6 Akhlak adalah syarat yang asasi untuk masuk ke dalam syurga dan jatuh dari api neraka. Tidak cukup dengan hanya solat dan puasa. Bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. mengenai seorang wanita yang menunaikan solat dan berpuasa tetapi menyakiti jirannya dengan kata-katanya. Lalu baginda menjawab :

لاخير فيها هى من أهل النار

6.7 Rasulullah S.A.W. memohon kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan dengan akhlak yamg baik dan Allah S.W.T. sendiri mengakui dan memuji kebaikan Rasulullah S.A.W.

وانك لعل خلق عظيم

7. KEISTIMEWAAN AL- AKHLAK AL- ISLAMIAH.

Akhlak Al-Islamiah mempunyai banyak keistimewaannya yang tersendiri, dan tidak ada di sana sedikitpun kecacatan dan kekurangan. Di antaranya :

7.1 Rabbani .

Islam menjadikan matlamatnya adalah mencari keredhaan Allah S.W.T sebagai asas dalam kehidupan manusia. Asas ini menjadikan akhlak manusia tetap ampuh dan tidak berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Sehubungan itu, akhlak tidak harus menggunakan wasilah-wasilah yang keji dan buruk semata-mata untuk mencapai seseuatu matlamat yang baik.

7.2 Syumul.

Ia mencakupi setiap juzuk dalam kehidupan seharian manusia. Tiada suatu sudut pun yang tidak disentuh oleh akhlak Islam, samada pergaulan, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik dan termasuklah dalam medan peperangan.

7.3 Praktikal (amali).

Islam menuntut manusia agar membangunkan sistem yang berlandaskan syariat Islam dan akhlak dalam masyarakat mereka. Di samping mereka menolak unsur-unsur mungkar yang terdapat dalam masyarakat.

7.4 Balasan .

Islam tidak memandang akhlak sebagai urusan peribadi tetapi Islam meletakkan akhlak antara yang disuruh dan akan dikenakan balasan kepada sesiapa yang meninggalkannya. Sebagai contoh ; saksi palsu, pecah amanah dan sebagainya.


8.PEMBENTUKAN AKHLAK.

Adakah akhlak merupakan sesuatu perkara yang beku yang tidak mampu diubah, sebagaimana sifat tubuh badan yang tidak boleh diubah ? Ataupun adakah akhlak mampu dibentuk dan dicanaikan ke arah yang baik ?

Ulamak berselisih pendapat mengenai perkara asas ini. Walau bagaimanapun, kebanyakannya menegaskan bahawa akhlak boleh dibentuk. Menurut Al-Ghazali r.a : "Merubah akhlak adalah perkara yang mungkin." Sekiranya tidak, mengapa Rasulullah S.A.W ada menyebut : "Perbaikilah akhlak kamu." (6)

Walau bagaimanapun, adalah tidak dinafikan bahawa sebahagian manusia dikurniakan dengan sifat yang tertentu yang membentuk identiti mereka. Sebagai contoh, sifat kecerdikan atau kelembutan....Sebagaimana di dalam hadis al-Asyaj Abdul Qais.


8.1 Asas- asas pembentukan akhlak.

Perbezaan yang berlaku dalam menilai dan membentuk akhlak di antara suatu zaman atau sesuatu bangsa dan masyarakat bergantung kepada tasawwur atau asas yang ada pada mereka.

Bagi masyarakat Islam, asas yang membentuk berbeza kerana ianya diasaskan oleh tasawwur-tasawwur yang tertentu, yang berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T yang Maha Esa. Antara tasawwur- tasawwur tersebut :

8.1.1 Tasawwur manusia dengan penciptanya.

Apakah hubungan manusia dengan Tuhannya? Apakah mereka akan dipertanggungkan di hadapannya? Apakah matlamat kewujudan mereka? Maka, tasawwur manusia yang jelas tentang tuhannya dan matlamat kejadiannya akan membina neraca yang sebenar mengenai akhlak yang mesti mereka amalkan.

8.1.2 Dalam pada itu, Islam meletakkan rujukan yang bersifat kekal iaitu Al- Qur'an dan As-Sunnah yang menerangkan asas-asas akhlak. Menerangkan mana yang baik dan mana yang tidak baik. Kedua-duanya sudah cukup untuk menerangkan cara hidup muslim yang sebenar dengan akhlak yang terperinci dalam setiap aspek kehidupan.

8.1.3 Ketakutan kepada Allah S.W.T dan kepada balasan akhirat nanti.

8.1.4 Aqidah iman dan hari akhirat.


9. EMPAT MARATIB AKHLAK .

"Akhlak Islam menurut kaca mata Al-Qur'an dan As-Sunnah terbina berdasarkan kepada empat maratib, iaitu Iman, Takwa, dan Ihsan. Keempat-empat unsur tersebut disusun menurut keutamaan. Iman sebagai asasnya kemudian diikuti Islam yang membina takwa dan akhirnya ihsan.

Kepincangan kepada iman akan mengakibatkan kepincangan kepada Islam, takwa dan ihsan yang secara serentak. Begitulah seterusnya."

9.1 Iman.

Iman adalah asas kehidupan Islam. Tidak dinafikan bahawa pengiktirafan iman merupakan prasyarat yang utama untuk seseorang itu diterima sebagai muslim. Tetapi adakah cukup sekadar pengakuan ?.

Maka dari itu, kehidupan Islam yang sempurna mestilah dibina di atas iman yang syumul yang mencakupi seluruh aspek hayah yang tertanam kukuh ke akar umbinya.

9.2 Islam .

Apabila tunjang iman telah bertapak kukuh maka tersergamlah sebuah binaan Islam. Islam sebenarnya adalah merupakan cernaan iman ke dalam amal. Maka akan lahir darinya kehidupan Islam yang amali dan pratikal dengan akhlak dan muamalatnya.

9.3 Takwa

Taqwa adalah keadaan dalaman yang timbul disebabkan perasaan takut kepada Allah S.W.T sehingga ia menampakkan kesannya dalam kehidupan. Keadaan dalaman inilah yang akan menjadikan peka terhadap setiap tingkah lakunya, yang mana adakah ianya bertepatan kasihnya kepada Allah S.W.T.

Perasaan ini akan melahirkan sikap taat kepada setiap arahan dan takut sekiranya ia melanggar dan melampaui batas-batas Allah S.W.T. Perasaan ini akan menguasai jiwa raganya. Sehingga jelas terukir dalam setiap aspek kehidupannya.

Adalah tidak harus keadaan ini hanya timbul dan nampak pada sudut- sudut yang tertentu sahaja. Dengan melaksanakan ketakwaan pada satu sudut dan sebaliknya meninggalkannya pada sudut yang lain pula.

9.4 Ihsan

Ihsan pada hakikatnya adalah suatu ibarat kepada seseorang yang larut dalam Islam dengan hubungan kepada Allah S.W.T dan rasulNya. Kasih yang kental, kejujuran yang asli, menyerah jiwa dan mengorbankan nyawa dan harta. Perasaan kasih inilah yang menggerakkannya untuk melakukan amal semata-mata kerana keredhaan Allah S.W.T.

Sifat Ihsan ini akan membawa mereka mencapai darjat yang paling tinggi dalam Islam. Tidak cukup dengan melakukan amalan-amalan yang pinggir bahkan mereka menyerahkan kasih, kejujuran serta jiwa dan harta mereka segala-galanya kerana Allah S.W.T.

10. PENUTUP

Dari penjelasan di atas, dapatlah kita gambarkan bahawa akhlak dalam Islam merupakan antara asas binaan Islam yang jitu. Ianya bukanlah sesuatu yang berasingan. Malah akhlak Islamiah memainkan peranan yang amat penting dalam hayah manusia yang mana apabila bertembung dalam satu keadaan antara dua kekuatan, akhlak dan material maka sesungguhnya akhlak memberikan sumbangan sebanyak 70% - 90 % sedangkan kekuatan maddiah hanyalah menyumbangkan 10% - 30% sahaja." (8)

Firman Allah S.W.T. :

ان يكن منكم عشرون صا برون يغلبون مأتين (9)

Manakala tasawwur akhlak dalam Islam meliputi seluruh aspek kehidupan. Ia berjalan selari dengan setiap tingkah laku dan amalan yang keluar dari manusia. Oleh itu, adalah tidak benar sekiranya akhlak Islam hanya dipratikkan pada sudut yang tertentu dan meninggalkan di sudut yang lain.

Terutamanya ketika arus jahiliah sedang melanda ummah Islam di kala ini. Badai yang melanda ummah Islam yang terlalu kuat sehingga menenggelamkan ciri-ciri Islam. Jahiliah jauh menonjol memadamkan obor syiar Islam. Maka, tidak hairanlah apabila kedapatan di sana mereka yang melaksanakan dan memperjuangkan Islam dalam kehidupannya dianggap pelik dan ketinggalan zaman.

Seterusnya nilai-nilai akhlak Islam tidak sepatutnya diambil kerana semata-mata hanya untuk mencapai tujuan keduniaan. Sebaliknya meninggalkan asas akhlak yang lebih besar, iaitu Iman yang kental, Islam, Takwa dan Ihsan.

Nyata, krisis yang melanda ummah Islam hari ini adalah kerana mereka tidak melaksanakan akhlak Al-Islamiah yang sebenar. Penyelesaian yang bersifat tempelan dan sandaran hanyalah memburukkan keadaan. Fenomena ini adalah jauh lebih buruk lagi sekiranya para dua't gagal meleburkan asas-asas akhlak Islamiah ini ke dalam diri dan jiwa mereka!

Justeru, sebagai resolusinya, hendaklah umat Islam terutamanya para dua't perlulah kembali menilai akhlak Al-Islamiah yang sejati. Berusaha menyelamatkannya dalam diri dan mencernakan dalam setiap tindakan dan tingkah laku. Seterusnya, akhlak ini disebarkan ke seluruh umat dunia, sehingga terpadamnya fitnah jahiliah dan semuanya kembali kepada pengabdian diri kepada Allah S.W.T.
|
This entry was posted on 4:49 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: