1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib ].  Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan  antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik  dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul  ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca.  Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.
2.  Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada  semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan  yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam ] Terima Islam  Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki  gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia  seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.
3. Islam  didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam  digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun  sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan  Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh  waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus  asa dan kecewa.
4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan  bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan  berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj  rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang  agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan  dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.
5. Namun Nabi saw telah menegaskan yang bermaksud:
"Telah  bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing  sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap  bersama Islam]."
6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan  syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia  kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia  kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang  menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan  ummat jahiliah. Firman Allah swt yang bermaksud:
"dan apabila  diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang  lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya  orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang -  orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti." - Surah al Baqarah :  Ayat 13
7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya  ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan  kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih  berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama  meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar  untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang  penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan  iltizam bersama kerja - kerja  amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang  dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.
8. PAS adalah Gerakan  Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal  yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah  tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah  medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas  ramuan 3 elemen dari pakej tersebut.
9. Adunan 3 elemen dari pakej itulah tercetusnya pelbagai slogan seperti :
 * Pemuda PAS adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Bermaksud  Pemimpin dan anggota pemuda PAS turun ke medan, menyantuni masyarakat  dengan penuh kasih sayang biarpun mungkin suatu masa dahulu, mereka  adalah musuh kita. Mereka menentang kita dengan kejahilan dan hasad  dendam yang menyelubungi jiwa mereka. Namun mereka mesti diselamatkan  dari terus menjadi hamba nafsu dan syaithan yang menguasai diri mereka  untuk memusuhi Islam. Pemuda PAS adalah penyelamat, lalu selamatkan  seramai mungkin manusia dari api dosa yang sedang membakar mereka.
 * Orang Muda Geng Kite . Adalah slogan lanjutan untuk menterjemah "Duta  Penyelamat dan Kasih sayang" bagi mendekati golongan muda dari pelbagai  lapisan dan latar belakang. Dari anak muda professional sehinggalah  kepada anak muda yang bergelandangan. Mereka didekati oleh pemuda PAS  dengan pelbagai cara dan kaedah. Tertubuhnya Alternative Riding Club  [ARC] dan wujudnya aktiviti seperti Alternative Futsal Club, Alternative  Band Club dan sebagainya adalah untuk melengkapkan usaha mendekati anak  muda.
* Jom Sertai PAS . Juga antara slogan popular PAS untuk  mendekati semua golongan masyarakat agar mereka menyertai PAS. Menyertai  PAS hanya semudah mengisi borang, membayar yuran tahunan dan bersedia  mematuhi perlembagaan PAS atau undang - undang tubuh PAS. Penyertaan  mereka akan diperkasa dari masa ke semasa melalui proses pentarbiyahan  yang wujud di dalam PAS sehinggalah akhirnya mereka menjadi seorang ahli  PAS yang soleh dan berjuang. Melalui slogan ini, telah ramai tokoh -  tokoh yang suatu masa dahulu sangat memusuhi PAS namun kini berjuang  bersama saf perjuangan PAS. Laksana tokoh - tokoh yang menentang Nabi  saw kemudiannya menerima Islam lalu gigih berjuang disamping Nabi saw.  Kepada mereka Nabi saw menyebut :
"yang terpilih [hebat] di zaman jahiliah jua terpilih [hebat] di zaman Islam asal sahaja mereka memahami Islam."
 * PAS For All atau PAS Untuk Semua. Sebahagian dari slogan PAS yang  berjaya meletakkan PAS dihati mereka. Bukan sahaja ummat Islam mahu  menyertai PAS lalu menjadi ahli yang baik, malah non muslim turut  melahirkan hasrat mahu bersama perjuangan Islam lalu tertubuhnya Dewan  Himpunan Penyokong PAS [DHPP]. "PAS Untuk Semua" membawa maksud  perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang bangsa  dan bahasa malah juga bermaksud semua boleh menyertai PAS asal sahaja  mereka bersedia untuk mematuhi dasar dan manhaj perjuangan Islam yang  dibawa oleh PAS.
10. Alhamdulillah, melalui gerakkerja amal  Islami bersandarkan slogan - slogan di atas, kini menjadikan keluarga  PAS kian besar sehingga mencecah angka sejuta. Pada tahun 1985 saya  menjadi ahli PAS yang ke 274,589. Kini angka keahlian tentunya telah  mencecah 9 angka. Kita menyedari, ada yang menyertai PAS kemudian gugur  ditengah jalan kerana gagal bertahan dengan ujian atau tribulasi  perjuangan ini justeru itulah sunnatullah, namun kita jangan kecewa dan  putus asa untuk terus berdakwah, menyeru dan mengajak masyarakat ummat  Islam menyertai PAS dan non muslim menyertai DHPP.
Biarpun seribu  manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh  saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan  kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan  asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah  menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin HassanKetua Dewan Pemuda PAS Malaysia