TIBANYA SATU SYAWAL.......
10:39 PM | Author: mohd daud bin hassan
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Alhamdulillah, pada hari ini kita menyambut kedatangan Aidil Fitri dengan rasa penuh kesyukuran dan terima kasih kepada Allah Subhanahu Wataala kerana hari ini adalah kurnia dan hadiah yang sangat besar harganya kepada umat Islam yang telah bekerja keras dengan penuh iman dan takwa pada bulan Ramadhan yang lalu. Penghayatan dan kegembiraan yang sebenarnya sudah tentu akan dapat dirasakan dan dinikmati oleh mereka yang benar-benar telah menunaikan perintah Allah Sub
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Alhamdulillah, pada hari ini kita menyambut kedatangan Aidil Fitri dengan rasa penuh kesyukuran dan terima kasih kepada Allah Subhanahu Wataala kerana hari ini adalah kurnia dan hadiah yang sangat besar harganya kepada umat Islam yang telah bekerja keras dengan penuh iman dan takwa pada bulan Ramadhan yang lalu. hanahu Wataala dengan sepenuhnya. Sedangkan orang yang tidak menunaikan perintah itu walaupun turut merasakan tetapi hanyalah ibarat bersukaria tanpa tujuan dan kosong dari sebarang pengertian iman dan takwa serta ihsan kepada Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala memerintahkan kita menyembah dan menjalankan perintahnya dengan cara bersungguh-sungguh, walaupun kita tidak melihat Allah Subhanahu Wataala yang mana menyebabkan sebahagian daripada kita lalai dan menyangka bahawa mereka boleh berbuat apa sahaja. Tetapi sebenarnya Allah Subhanahu Wataala sentiasa melihat dan memperhitungkan setiap gerak langkah kita, walaupun di mana kita berada. Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ‘hendaklah kamu menyembah Allah itu seolah-olah kamu melihat Dia dan jikalau tidak melihat Dia maka ketahui Dia (Allah) itu adalah melihat kamu’. (Riwayat Al-Imam Bukhari).
Orang-orang yang beriman, umpamanya dalam mengerjakan ibadat puasa sentiasa ingat akan makna hadith ini, maka mereka mengerjakan amal ibadat dan perintah Allah Subhanahu Wataala itu dengan berhati-hati, supaya tidak menyeleweng dan tidak akan berhadapan dengan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala. Di sinilah terletaknya iman dan ihsan yang memandu manusia muslim itu ke arah jalan yang sebenarnya.
Di samping itu hendaklah juga ingat bahawa musuh terbesar manusia iaitu iblis dan tentera-tenteranya juga sentiasa melihat dan memerhatikan apa sahaja gerak manusia. Menanti dan mengintai di mana-maan salah langkah mereka, apabila sahaja manusia itu alpa dan lalai, maka menyerbulah iblis masuk ke dalam jantung, hati dan kepala manusia itu mengganggu dan mengalihkan pandangan mereka ke arah kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah Subhanahu Wataala.
Hal ini disebutkan dalam surah Al-A’raaf, ayat 28 :
Tafsirnya :
Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
Maka di sinilah terletaknya persimpangan yang menjadi punca perjuangan yang besar dalam diri manusia, sama ada ia hendak menjadi hamba Allah Subhanahu Wataala yang taat setia atau menjadi hamba yang derhaka. Dalam hal ini, kita mengambil satu contoh iaitu ibadat puasa. Orang yang taat mengerjakan ibadat puasa itu adalah sebagaimana mengikut semestinya. Bukan hanya setakat tidak makan minum, bahkan lebih dari itu, berpuasa juga hatinya, matanya, tangannya dan anggota zahir batinnya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang kerana ia tahu bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa ia memerhatikannya. Sebaliknya puasa orang yang hanya berpuasa mencukupkan syarat biasa, hanyalah sekadar berlapar dahaga tidak lebih dari itu, sedangkan matanya, telinganya, mulutnya dan lain-lain anggota zahir batin itu tidak !.
Maka orang yang berjaya akan mendapat kurnia yang berbagai daripada Allah Subhanahu Wataala sedangkan orang yang tidak mematuhi syarat dengan sendirinya akan ditolak dan terkeluar daripada golongan hamba Allah Subhanahu Wataala yang menerima kurnia itu. Ini adalah logik yang benar dan sudah diterima oleh semua orang. Tetapi oleh kerana godaan iblis yang sangat manis dan menyukakan maka mudahlah banyak orang terpedaya.
Sesungguhnya nikmat Allah Subhanahu Wataala kepada hambanya itu sangat banyak, tidak terkira. Suruhan-suruhan Allah Subhanahu Wataala kepada hambanya bagi mengerjakan amal ibadat itu sebenarnya juga suatu nikmat, bukannya percuma untuk menyusahkan diri sihamba itu. Maka orang-orang mukmin yang sedar akan nikmat Allah Subhanahu Wataala itu akan sentiasa merebut peluang untuk mendapatkan nikmat Allah Subhanahu Wataala itu dan tidak dengan selarah-larah ia menyalahgunakan nikmat itu di jalan-jalan yang tidak sesuai dan bukan pada tempatnya. Allah Subhanahu Wataala sentiasa mencuba hamba-hambanya dengan berbagai-bagai cara untuk menguji bagaimana hamba-hamba Allah Subhanahu Watalla itu menggunakan nikmat yang banyak itu, sama ada digunakan secara baik atau secara salah seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Fajr ayat 15 hingga 16 :
Tafsirnya :
Dalam pada itu, manusia tidak menghiraukan balasan akhirat, oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya, dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur). Serta berkata dengan sombongnya : ‘Tuhanku telah memuliakan daku’. Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah serta merepek dengan katanya : ‘Tuhanku telah menghina daku’.
Maka oleh kerana itu lahirlah golongan manusia yang tidak stabil atau kurang seimbang cara hidup mereka terhadap nikmat Allah Subhanahu Wataala. Dan menggunakan nikmat-nikmat itu tidak sempurna, dibuang, seolah-olah tidak ada harganya dan seolah-olah nikmat Allah Subhanahu Wataala itu akan tetap datang kepadanya menurut kehendak hawa nafsunya. Maka masuklah manusia itu ke dalam satu jurang yang dinamakan ‘Kufur Nikmat’.
Erti ‘Kufur Nikmat’ itu ialah tidak menghargai nikmat Allah Subhanahu Wataala, nikmat Allah Subhanahu Wataala yang berbagai-bagai itu digunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak betul, maka yang akan menerima akibat dari perbuatan kufur nikmat itu ialah sipengguna nikmat itu sendiri. Akhirnya akibat dari perbuatan itu kita terbaca di ruang akhbar, dari majalah-majalah dari sumber lain, tentang nasib orang yang tidak menggunakan nikmat Allah Subhanahu Wataala dengan sempurna dan di akhirat nanti ada lagi kemurkaan Allah Subhanahu Wataala akan ditimpakan kepada mereka.
Allah Subhanahu Wataala memberi amaran kepada kita supaya kita berjaga-jaga menggunakan kemudahan-kemudahan hidup senang dan mewah di dunia ini : seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taghabuun ayat 15 hingga 16 :
Tafsirnya :
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya: dan dengarlah akan pengajaran-pengajarannya serta taatlah akan perintah-perintahnya dan belanjakanlah harta kamu serta buatlah kebajikan untuk diri kamu. Dan ingatlah, siapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Maka oleh sebab itu Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hambanya supaya belajar dari alam sekeliling dengan tujuan supaya dia insaf dan sentiasa ingat akan keadaan dirinya, tahu ia akan di mana ia dalam masyarakatnya dan tahu ia akan susah senang orang, dan jangan ia hanya mementingkan kehendak hawa nafsunya sahaja, bahkan hidup itu ada pasang surutnya, ada masa senang, ada masa susah, jikalau ia dalam keadaan susah hendaklah ia melihat kepada orang-orang yang lebih susah. Kalau ia mewah dan senang hendaklah ia melihat kepada orang yang lebih senang daripadanya yang dalam kesenangan mereka itu tetap menjalankan perintah Allah Subhanahu Wataala, seperti bersedekah, berzakat harta, menunaikan haji dan seumpamanya supaya ia dapat membanding. Kerana biasanya orang yang hanya mementingkan diri sendiri akan menghadapi masalah yang tidak akan diusai oleh siapa pun. Ini diterangkan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Fajr, ayat 17 hingga 24:
Tafsirnya :
Jangan demikian (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana, kamu tidak memuliakan anak yatim, malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya. Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus dengan tidak membezakan halal haramnya. Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!. Jangan sekali-kali bersikap demikian!, sebenarnya apabila bumi dihancurkan segala yang ada di atasnya dan diratakan serata-ratanya dan perintah tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris siap sedia menjalankan perintah. Serta diperlihatkan neraka jahanam pada hari itu, maka pada saat itu manusia akan ingat hendak berlaku baik dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?. Ia akan berkata “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku di sini”.
Maka kita manusia hendaklah belajar melihat keadaan yang berlaku di hadapan kita, mudah-mudahan kita beroleh keinsafan dan memperbaiki diri kita dan meningkatkan nilai hidup kita sebagai hamba Allah Subhanahu Wataala yang taat kepadanya, supaya kita bahagia di dunia dan mendapat keredhaan serta rahmat dan kurnia yang besar di akhirat.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat 7:
Tafsirnya :
Sesungguhnya kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.